YouTube Sidang Rakyat

Loading...

Monday, 20 May 2013

Faktor geografi, politik sebabkan populasi warga asing meningkat di Sabah


KOTA KINABALU:  (20 Mei, 2013) - Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi pendatang tanpa izin di Sabah hari ini diberitahu faktor geografi dan politik menyebabkan jumlah populasi pendatang asing di negeri itu meningkat dengan drastik sejak tahun 1963 sehingga 2012.

Pengarah Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) Sarawak, Datuk Abu Bakar Mat berkata faktor tersebut menyebabkan pengeluaran kad pengenalan (IC) biru kepada golongan pendatang meningkat di Sabah dalam tempoh 49 tahun itu.  

Menjawab soalan pegawai pengendali Manoj Kurup,  Abu Bakar berkata sebanyak 5,753 IC biru dikeluarkan kepada warga asing di Sarawak selepas mereka memperoleh taraf sebagai warganegara sejak 1963 sehingga akhir tahun lepas. 

Ditanya Manoj mengenai pendapatnya mengapa jumlah pengeluaran IC di Sarawak amat ketara perbezaaanya berbanding 66,000 di Sabah dalam tempoh yang sama, Abu Bakar berkata ia bergantung kepada keadaan di negeri masing-masing. 

“Secara peribadi saya nampak lokasi di Sarawak berbeza dengan di Sabah.  Kedudukan geografi di Sabah yang hampir dengan Filipina dan juga faktor politik menyebabkan jumlah populasi warga asing meningkat di Sabah berbanding di Sarawak,” katanya.

Saksi ke-63 itu juga berkata kedudukan Sabah yang berdekatan dengan perairan laut dan juga bersempadan dengan Filipina juga merupakan faktor pendatang asing berhijrah ke negeri itu berbanding Sarawak.

Ketika ditanya mengenai cadangannya bagi menangani masalah pendatang asing di Sabah, Abu Bakar berkata ia boleh dilakukan dengan mengetatkan lagi kawalan keselamatan di kawasan sempadan negeri itu dan juga dengan mewujudkan lebih banyak pintu masuk imigresen bagi memastikan kemasukan secara sah.

Abu Bakar yang memegang jawatan itu sejak tahun 2003 juga berkata pada 1966 sehingga 1980 permohonan IC di Sarawak mestilah disertakan dengan sijil perakuan taraf dan sijil kelahiran.

Beliau berkata selepas 1980 hanya sijil kelahiran sahaja diperlukan untuk memohon IC dan sijil perakuan taraf tidak boleh lagi digunakan. 

Prosiding di hadapan lima anggota panel diketuai bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong juga diberitahu bahawa implikasi sosial seperti gejala dadah, mencuri, kesihatan, dan kebersihan banyak berlaku di negeri itu disebabkan masalah setinggan yang didiami rakyat tempatan dan juga warga asing.

Panel itu turut dianggotai bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah Profesor Datuk Seri Dr Kamaruzaman Ampon, bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Henry Chin Poy Wu, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Kee Mustafa dan bekas Timbalan Ketua Menteri dan bekas Peguam Besar Sabah Tan Sri Herman J. Luping.

Penolong pengarah penguatkuasa kanan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Mohammed Amir Izzat berkata selain masalah sosial, kewujudan rumah setinggan itu juga mencacatkan pemandangan indah di ibu negeri Sabah.  

Ditanya pegawai pengendali Jamil Aripin, Mohammed Amir berkata pihaknya sentiasa memantau dan menjalankan operasi merobohkan setinggan di situ.

“Setakat bulan Mei tahun ini sebanyak 253 buah rumah setinggan dirobohkan.  Pada 2012 sebanyak 324 buah struktur setinggan dirobohkan, pada 2011 sebanyak 714 dirobohkan, 2010 pula sebanyak 510 buah dirobohkan dan pada 2009 sebanyak 1,520, buah rumah berjaya dirobohkan,” katanya.

Saksi ke-64 itu berkata penghuni setinggan terdiri daripada rakyat tempatan dan juga warga asing yang mendiami di kawasan tanah milik kerajaan dan juga di tanah lot milik persendirian.


Beliau menjelaskan terdapat kemudahan bekalan air, elektrik yang dibuat sambungan secara tidak sah di samping jalan raya.

Saksi itu juga berkata kebanjiran warga asing di bandaraya itu banyak menyumbang kepada aktiviti yang tidak bermoral kerana ramai antara mereka bekerja di pusat hiburan di samping pihaknya menerima ancaman dan kenderaan mereka dirosakkan semasa operasi meroboh setinggan itu.

Mohammed Amir juga menafikan dakwaan terdapat pendatang asing memperoleh lesen perniagaan menggunakan IC palsu.

“Berkemungkinan mereka adalah sebagai rakan kongsi, tetapi jika ada sudah pasti pihak kami akan menolak permohonan mereka,” katanya lagi yang tugasnya antara lain memproses lesen perniagaan dan mengawal selia pertumbuhan setinggan di bandaraya itu.

Abd Rahim Katiman, pembantu penguatkuasa Majlis Daerah Tenom pula memberitahu Suruhanjaya bahawa pada tiap-tiap tahun pihaknya akan ke kawasan setinggan untuk memastikan rekod sentiasa dikemas kini.  

Beliau berkata di Tenom hanya terdapat satu kawasan setinggan sahaja dengan 34 buah rumah dan 174 penghuni yang terdiri daripada warga Pakistan, Suluk Bajau Jawa dan Murut dan mereka bekerja sebagai petani, peniaga dan buruh. 

Saksi ke-65 itu juga berkata sehingga 2007 hingga 2013 pihaknya tidak menerima sebarang aduan pendatang asing menjalankan perniagaan di situ.

Kassim Selamat, ketua unit setinggan Majlis Perbandaran Sandakan berkata seramai 32,095 orang tinggal di 43 koloni setinggan dan 19,370 adalah bukan warganegara Malaysia.

Bagaimanapun beliau tidak pasti mereka dari negara mana tetapi kebanyakannya adalah dari selatan Filipina.

Beliau juga bersetuju bahawa Sandakan mempunyai masalah pendatang warga asing yang sangat ramai dan tinggi akibat kebanjiran pendatang asing di situ.  

Kassim berkata sebanyak 4,620 buah rumah setinggan dirobohkan sejak tahun 2000 hingga 2008 manakala sebanyak 1,080 berjaya dirobohkan antara tahun 2009 hingga 2012.

Saksi ke-66 itu berkata sebelum dirobohkan pihaknya akan memberi notis 14 hari atau sebulan sebelum kerja-kerja meroboh dilakukan.  

Majid Patola, yang bertugas sebagai merinyu Perbandaran Tawau dalam keterangannya berkata seramai 19,455 penghuni setinggan di situ dengan 11,904 adalah bukan warganegara.

Beliau juga berkata wabak penyakit seperti taun banyak berlaku di situ kerana ketiadaan sistem pembetungan yang tidak betul dan kekurangan bekalan air bersih.

Perbicaraan bersambung esok. Seramai tujuh saksi dipanggil memberi keterangan hari ini.