YouTube Sidang Rakyat

Loading...

Sunday, 7 July 2013

Pengguna harus tahu hak mereka: Musbah

TANAM KELAPA ... Musbah menanam kelapa mawar di perkarangan Kompleks Sukan Botung, Kota Belud, sempena program tersebut.

PADAM API ... Musbah menyembur pamadam api pada demonstrasi cara-cara memadam api semasa majlis itu.


OLEH GINDANAU SAKAT/MR KODOK

KOTA BELUD: Pembantu Menteri Pertanian  Dan Industri Makanan, Datuk Musbah Jamli, berkata belia dan masyarakat perlu peka terhadap isu-isu kepenggunaan kerana dengan cara itu dapat membantu kerajaan dalam menyampaikan maklumat kepada semua golongan.

Katanya, penting bagi masyarakat  luar bandar supaya diberi pendedahan dan pendidikan berkaitan ilmu kepenggunaan lestari disamping melaksanakan aktiviti masyarakat.

Musbah berkata, ilmu-ilmu kepenggunaan boleh diperolehi melalui ceramah, seminar, bengkel, penerbitan dan juga melalui kerja-kerja amal seperti aktiviti bergotong-royong.

“Masyarakat pengguna terutama golongan belia merupakan nadi penggerak masa depan negara,” katanya ketika berucap merasmikan Program Kepenggunaan Bersama Belia di Dewan Kompleks Sukan, dekat sini, pada Sabtu (6 Jun 2013).

Program Kepenggunaan Bersama Belia adalah anjuran bersama Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Kepenggunaan (PPDNKK) dan Persatuan Badminton Belia Kota Belud.

Program itu adalah pertama dianjurkan tahun ini di daerah ini dan, Kampung Tempasuk dipilih sebagai lokasi mengadakan program tersebut.

Menurut Musbah, bahawa lima program seumpama itu telah diadakan di beberapa kampung dan daerah di Sabah pada 2012.

Musbah yang juga wakil rakyat Tempasuk berkata, program kepenggunaan bertujuan memupuk semangat kekitaan dalam kalangan belia dan masyarakat.

Turut hadir wakil timbalan pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Murtazzah Hj Manap, Presiden Persatuan Badminton Kota Belud, Amirul Jibar dan kakitangan Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat (UPKR) Tempasuk.


Pengguna mesti bijak jangan tertipu peniaga licik

BERI PENERANGAN … seorang anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat memberikan penerangan kaedah memadam api daripada tong gas, sambil diperhatikan oleh Musbah (empat kiri), Murtazzah (tiga kiri) dan Amirul (dua kiri).

MENCUBA … seorang petugas media memadamkan api daripada tong gas dengan menutup corong gas menggunakan jari.

KOTA BELUD: Sebagai pengguna yang bertanggungjawab harus melengkapkan diri dengan ilmu dan maklumat kepenggunaan supaya dapat melindungi diri dan keluarga daripada ditipu dan ditindas oleh peniaga yang tidak beretika.

Timbalan Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan  (PPDNKK), Sabah, Suhaimi Mat Sari berkata selain itu, pengguna juga harus bijak, berimformasi dan tahu akan perkara-perkara asas hak-hak kepenggunaan supaya tidak mudah dikelirukan.

“Ilmu Kepenggunaan boleh didapati melalui ceramah-ceramah atau bahan-bahan pameran,” katanya pada Program Kepenggunaan Bersama Belia Peringkat Daerah Kota Belud di Dewan Kompleks Sukan Botung, dekat sini pada Sabtu (6 Jun 2013).

Teks ucapan beliau dibacakan oleh wakilnya Murtazzah Hj Manap.

Program itu adalah anjuran bersama Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan dengan Persatuan Badminton Kota Belud yang dirasmikan oleh Pembantu Menteri Pertanian Dan Industri Makanan, Datuk Musbah Jamli.

Katanya proram tersebut bertujuan mendidik masyarakat khususnya golongan belia supaya memahami aspek-aspek perundangan kepenggunaan dan hak-hak mereka sebagai pengguna.

Suhaimi berkata, tujuan lain menyedarkan rakyat mengenai kuasa mereka sebagai pengguna dan, pada masa yang sama memberi penjelasan kepada masyarakat cara melindungi pengguna daripada ditipu oleh peniaga yang licik.

Turut hadir Penolong Pegawai Daerah Kota Belud, Peter Yiton mewakili Pegawai Daerah Kota Belud, Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR), Dewan Uundangan Negeri Tempasuk, Ali Udin Hj Paitu, Pegawai Kemajuan Rakyat (CDO) DUN Tempasuk, Siang Sibin dan Presiden Persatuan Badminton Kota Belud, Amirul Hj Jibal.











Sunday, 30 June 2013

Rahman mahu Usto guna pengalaman majukan masyarakat Tindal

RASMI KOKOTUAN USTO … Rahman sedang mengali padi daripada ‘tangkob’ sebagai sembolik perasmian Pesta Kokotun Tindal 2013.
UNDUK KOKOTUAN USTO 2013 ...  Susanna Manu Mattew (tengah), Secilah Jalabid (kiri) dan ketiga Sherllenney Madawal (kanan).

PENGADIL UNDUK KOKOTUAN … Barisan pangadil Unduk Kokotuan 2013 yang didatang khas dari luar daerah  yang terdiri daripada Nannevy Vivie W. Harry (Tuaran), Flona Fay Sisom (Kota Kinabalu)   dan Stanly Voo (Kota Marudu).

BARISAN UNDUK KOKOTUAN TINDAL 2013 … Susanna Manu Mattew (tengah), Secilah Jalabid (kiri) dan  Sherllenney Madawal (kanan)  merakam gambar bersama tujuh peserta yang lain.


OLEH GINDANAU SAKAT

KOTA BELUD: Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempataan,  Datuk Abdul Rahman Dahlan mahu Pertubuhan Tindal Bersatu Sabah (Usto)  supaya menggunakan segala pengalaman untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat Tindal di negeri ini.

Rahman yang juga Anggota Parlimen Kota Belud, meminta kepada Usto supaya lebih peka kepada seruan kerajaan untuk menjadi agen penyampai maklumat tepat  kepada masyarakat Tindal.

Katanya, kerajaan mahu melihat masyarakat Tindal turut serta merebut pelbagai peluang dalam sektor perkerjaan, perniagaan dan  pendidikan.

Rahman juga meminta semua persatuan di negara ini khususnya di Sabah supaya menghormati  badan-badan persetuan yang lain untuk mengelak terjadinya perpecahan dalam sesebuah organisasi berkenaan.

“Sudah menjadi lumrah bahawa kita tidak selama menjadi pemimpin dalam sesuatu pertubuhan atau persatuan tetapi, kita sebagi Presiden atau Yang Dipertua termasuklah ahli majlis tertinggi harus menjadi  teladan baik kepada ahli-ahli dengan menetepikan kepentingan peribadi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Kokotuan Tindal 2013 anjuran Usto yang julungkali diadakan  di Kampung Tambulion Laut, dekat sini, pada Sabtu (29 Jun, 2013).

Rahman berkata, penganjuran Pesta Kokotuan Tindal Usto 2013 disifatkannya sebagai pemangkin kepada sumber motivasi kepada kaum Tindal.

Sehubungan itu, beliau meminta kepada  Usto memain peranannya memaklumkan supaya golongan muda bersedia untuk mempelajari dan mengikuti kursus berkaitan supaya masyarkat Tindal dapat menyumbang kepada pembangunan  dalam pelbagai sektor tersebut.

Sementara itu, Cik Susanna Manu Mathew, 20,  dari Zon Warrou dimahkotakan sebagai Unduk Kokotuan Usto 2013 mengalahkan 19 peserta yang lain dan membawa pulang beberapa hadiah termasuklah wang tunai RM1,000.

Tempat kedua dimenangi peserta dari Zon Kabayau,   Cik Secilah Jalabid, 20, juga membawa pulang pelbagai hadiah  termasuk wang tunai RM800.

Tempat ketiga, Cik Sherllenney Madawal, 22, yang mewakili Zon Tempasuk, membawa pulang  beberapa hadiah dan wang tunai RM600. Sherllenney juga memenangi undi popular SMS sebanyak  892 undi.

Dengan itu,   Sherllenney menerima tiket pergi dan balik ke Thailand bersama keluarga selama seminggu. Tiket itu ditaja oleh Rumah Terbalik Tamparuli.


SUMANDAK TINDAL … Susanna Manu Mathew dimahkotakan sebagai Sumandak Tolumis Tindal 2013 (Gadis Tercantik), Ruzell Ruzaliah Micheal memenangi gelaran Sumandak Otinood (Gadis Tenang) dan Sherllenny Madawal menyandang gelaran Sumandak Osuau (Gadis Mesra) pada Pertandingan Sodop Unduk Kokotuan Tindal 2013 berlangsung di Dewan Tun Said, Kota Belud, pada 27 Jun 2013). 

Majlis itu dirasmikan oleh Pembantu Menteri  Pertanian dan Industri Makanan Datuk Musbah Jamli merangkap Wakil Rakyat Tempasuk.

Antara yang turut hadir, Wakil Rakyat PKR  Kadamaian Jeremy @ Ukoh Malajad dan Presiden Pertubuhan Tindal Bersatu Sabah (Usto), James Bagah. – OLEH GINDANAU SAKAT



Thursday, 27 June 2013

29 individu terbabit keganasan minta dibicarakan

SEORANG suspek berkerusi roda diiringi oleh polis masuk ke mahkamah hari ini.

GANI (kiri) bersama Timbalan Pendakwa Raya Persekutuan, Datuk Nordin Hassan (dua kiri) dan seorang pegawai kanan polis masuk ke mahkamah.

ANGGOTA polis menjalankan pemeriksaan ketat ke atas orang ramai yang ini  mendengar pertuduhan hari ini.


KOTA KINABALU:  Sejumlah 29 individu yang didakwa dengan pelbagai kesalahan berkaitan aktiviti keganasan di Sabah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail memohon kepada mahkamah supaya semua tertuduh dibicarakan bersama.

Lapan peguam yang mewakili tertuduh tidak membantah permohonan itu.

Hakim P. Ravinthran menetapkan 15 Julai bagi pengurusan kes.

Beliau turut menetapkan 12 Julai untuk merekodkan pengakuan seorang tertuduh, Habil Suhaili, yang tidak hadir kerana sedang menjalani rawatan di Hospital Tawau.

Habil didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas di Jalan Kastam Lama, Lahad Datu, antara 9 Feb dan 4 Mac, kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan denda.

Antara 29 individu yang hadir di mahkamah ialah seorang wanita tempatan yang berdepan kemungkinan penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan, kerana didakwa memberi perlindungan kepada sekumpulan pengganas.

Norhaida Ibnahi, 46, didakwa melindungi sekumpulan pengganas antara 9 Feb dan 22 Mac di sebuah rumah di Kampung Sri Melor, Bugaya, Semporna.

Dua anak tempatan, Abd Hadi Mawan, 49, dan Abdul Majil Jubin, 41, didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas dan menderhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Abd Hadi didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Kampung Perigi, Semporna, antara 9 Feb dan 14 Mac manakala Abdul Majil didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lihak-Lihak, Semporna, antara 9 Feb dan 13 Mac.

Warga Filipina adalah antara tertuduh yang berdepan dua pertuduhan sama seperti Abd Hadi dan Abdul Majil.

Datu Amirbahar Hushin Kiram, Rijmal Salleh, Saidili Jaharul, Dani Ismail, Pabblo Alie, Mohamad Ali Ahmad, Basil Samiul dan Rizman Gulan didakwa melakukan kesalahan antara 9 Feb dan 10 April di Kampung Tanduo, Lahad Datu; Kampung Muanad, Beluran dan Jalan Lihak-Lihak, Semporna.
Mereka didakwa melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, kesalahan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, dan kerana menjadi anggota kumpulan pengganas, satu kesalahan yang boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan denda, jika disabitkan.

Totoh Hismullah didakwa melakukan kesalahan sama antara 9 Feb dan 29 Mac di Kampung Simunul, Semporna.

Turut didakwa melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong ialah Atik Hussin Abu Bakar, Basad Manuel, Masir Aidin, Ismail Yasin, Anwar Salib Akhmad, Binhar Salib Akhmad, Virgilio Nemar Patulada alias Mohammad Alam Patulada, Salib Akhmad Emali, Al Wazir Osman alias Abdul, Tani Lahad Dahi dan Julham Rashid.

Mereka didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas bersama Aiman Radie, Lin Mad Salleh, Holland Kalbi dan Timhar Hadir.

Dua lagi tertuduh, Kadir Uyung dan Lating Tiong, didakwa memberi perlindungan kepada sekumpulan pengganas manakala Salib Akhmad berdepan pertuduhan tambahan merekrut anggota bagi kumpulan itu.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Abdul Gani berkata beliau berharap mahkamah akan menetapkan venue yang lebih besar bagi perbicaraan itu memandangkan tahap keselamatan ketat diperlukan dalam memastikan prosiding berjalan lancar.

Tertuduh dibawa ke kompleks mahkamah dengan menaiki empat trak polis.

Tiga belas daripada individu terbabit, termasuk wanita itu dan seorang tertuduh yang berkerusi roda, memakai ‘straight jackets’ dan topi hitam yang menutup mata mereka.

Mahkamah diletakkan dalam kawalan keselamatan yang ketat sejak awal pagi, dengan dikawal anggota polis bersenjata di dalam dan sekeliling perkarangan mahkamah.






Jom ke Rumah Terbuka Malaysia Ahad ini

KOTA KINABALU:  Kaamatan lagi!, Ahad ini, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia akan menganjurkan Rumah Terbuka Malaysia sempena Kaamatan  di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri, Jalan Penampang dekat sini, bermula 2.30 petang.

Menurut  sumber Unit Komunikasi Korporat kementerian hari ini, majlis itu dijangka dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bertemakan 'Harmoni 1Malaysia' itu akan diserikan dengan acara tradisi Pesta Tadau Kaamatan oleh masyarakat Kadazandusun.

Menurut sumber itu lagi, Rumah Terbuka Malaysia itu terbuka kepada orang ramai.


Wednesday, 26 June 2013

KERETA DIBOM

UNIT Pemusnah bom dari IPK Kepayan menggunakan robot untuk mengesan bom pada sebuah kereta yang dilontar bom malam Selasa.


SEORANG anggota polis dari Unit Pemusnah Bom dari IPK Kepayan melakukan pemeriksaan pada bahagian belakang kenderaan yang rosak  dilempar bom itu.

PENAMPANG: Dua lelaki  termasuk seorang remaja cemas selepas kenderaan yang mereka naiki dilontar bom ketika berada di pintu masuk sebuah tokong Cina berhampiran pasaraya besar Megalong di pekan Dongonggon, dekat sini, malam Selasa.

Dipercayai selepas itu, mangsa mendapati ada sebuah kereta Perodua Kancil menghampiri kenderaan mereka lalu salah seorang daripada suspek di dalam kereta terbabit melontar sesuatu ke arah kenderaan mangsa.

Difahamkan juga, suspek sempat memberhentikan kenderaan mereka tidak jauh dari tempat kejadian, dipercayai untuk menunggu bom terbabit meletup dan sejurus selepas letupan berlaku, suspek terus melarikan diri dengan memecut laju kenderaan mereka.

Bagaimanapun, dua mangsa terbabit tidak mengalami kecederaan kerana sempat keluar daripada kenderaan, dan kerosakan pula hanya berlaku pada bahagian belakang kereta terbabit.

Kejadian itu turut menggemparkan penduduk di sekitar pekan Donggongon apabila bunyi letupan dikatakan boleh didengar sejauh hampir dua kilometer.

Selain itu, cermin tingkap pada beberapa premis yang terletak berhampiran turut pecah akibat impak letupan berkenaan, bagaimanapun, tiada kenderaan lain yang mengalami kerosakan kerana hanya kenderaan milik mangsa yang berada di situ ketika kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Ratan Kumar Singh, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata pihaknya masih menjalankan siasatan.

“Pihak polis masih menyiasat motif sebenar serangan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.

Tambah beliau, sepasukan anggota daripada Unit Forensik, Unit Anjing Pengesan dan Unit Pemusnah Bom dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah turut berada di lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya tampil membantu siasatan polis.


Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, dua lelaki yang hanya dikenali sebagai Lau, 19, dan Woi, 26, dikatakan baru masuk ke dalam kenderaan mereka yang diletakkan di tepi jalan berhampiran pintu masuk tokong berkenaan.





Anwar Ketua Pembangkang di Parlimen

SEPERTI yang dijangkakan, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dilantik semula sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat bagi Parlimen ke-13.

Ketika mengumumkan perkara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, berkata pelantikan Anwar yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh, dibuat mengikut Peraturan Mesyuarat 4A (3).

“Mengikut maklum balas yang saya terima, saya berpuas hati bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim sebulat suara mendapat sokongan daripada anggota parlimen pembangkang di Parlimen untuk dilantik sebagai Ketua Pembangkang,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur.